Pada zaman arus globalisasi ini, kemajuan sains dan teknologi telah membawa kepada pembangunan masyarakat dan ekonomi yang pesat. Walaupun pembangunan tersebut telah memudahkan kehidupan manusia, namun implikasi kemajuan tersebut tidak dapat dinafikan. Malangnya, manusia kian melupakan tanggungjawab masing-masing untuk memelihara dan memulihara kelestarian alam sekitar dan rakus mengejar kebendaan. Natijah keadaan tersebut, pelbagai jenis pencemaran berlaku, terutamanya pencemaran udara. "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna", oleh itu harus mengelakkan pencemaran udara daripada menjadi serius dengan mengenal pasti punca-punca pencemaran udara sebelum menerima padah akibat ketamakan kita dalam mengeksploitasi alam sekitar demi kepentingan sendiri.
Siapakah dalangnya? "Tepuk dada tanya selera", begitulah sikap yang harus kita amalkan semasa mengenal pasti punca berlakunya masalah ini. Antara punca utama yang menyebabkan pencemaran udara ialah pelepasan asap kenderaan. Setiap hari, terdapat berjuta-juta buah kenderaan yang menyusur di jalan raya Malaysia. Bayangkan bilangan kenderaan yang melintas jalan raya di seluruh dunia. Antaranya ialah lori, motosikal, kereta, dan bas. Asap-asap kenderaan bersifat asid lantaran gas-gas beracun yang terkandung dalam asap kenderaan seperti karbon dioksida, karbon monoksida, sulfur dioksida, dan nitrogen dioksida. Gas-gas berasid tersebut akan menyebabkan hujan asid melalui proses pemeluwapan, seterusnya merosakkan bangunan-bangunan dan kenderaan-kenderaan.
Seterusnya, asap kenderaan turut menyumbang kepada pencemaran udara. Lazimnya asap tersebut dihasilkan dalam kilang berasaskan industri berat seperti logam, bahan kimia, kayu, dan kenderaan. Asap-asap tersebut mengandungi bahan-bahan yang hampir sama dengan asap kenderaan, malah terdapat pula zarah-zarah debu sebagai hasil sampingan penghasilan produk sesebuah kilang. Menurut Jabatan alam Sekitar, Indeks Pencemaran Udara di kawasan perindustrian selalunya berada dalam tahap yang tinggi. Penduduk di kawasan perindustrian pula kurang sihat berbanding dengan kawasan luar bandar.
Di samping itu, pembakaran terbuka juga merupakan antara faktor utama pencemaran udara. Kebanyakan kes pembakaran terbuka merupakan angkara manusia. Di kawasan pedalaman, kaum peribumi menjalankan pertanian tradisional dengan membakar hutan untuk membuka tanah pertanian baharu. Kegiatan tersebut bukan sahaja menyebabkan pencemaran udara, malah memusnahkan khazanah kayu balak yang berharga seperti hati, cengal dan keruing. Pembakaran sampah-sarap pula akan membebaskan asap hitam dan beracun, tamsilnya pembakaran barang plastik dan tin-tin aerosol. Namun, terdapat juga pembakaran hutan secara semulajadi, terutamanya pada musim kemarau.
Terdapat juga penyebab-penyebab lain yang kebanyakannya merupakan elemen-elemen kehidupan manusia. Tamsilnya, kegiatan-kegiatan domestik seperti kegiatan memasak menggunakan arang. Letupan kuari dalam kegiatan perlombongan batu kapur dapat membebaskan zarah-zarah debu dalam kadar yang tinggi. Pada masa yang sama, masalah pencemaran udara disebabkan oleh pembangunan yang tidak terancang dan mesra alam. Aktiviti merokok turut dapat mencemarkan udara di samping membahayakan kesihatan manusia.
Sebagai intihanya, pencemaran udara merupakan angkara manusia sendiri dan banyak memudaratkan kesejahteraan hidup manusia. Semua pihak harus berganding bahu untuk menangani masalah tersebut sebelum nasi menjadi bubur. Sesungguhnya pembangunan amat penting, namun alam sekitar tidak harus menjadi mangsa.
0 Little Whisper(s):
Post a Comment