Friday, 3 February 2012

Nilai-Nilai Murni yang Perlu Saya Amalkan untuk Memupuk Perpaduan dalam Kalangan Rakyat Malaysia

 P/S: i penned this in 2010.

    Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib b. Tun Razak, iaitu Perdana Menteri Malaysia yang terkini sentiasa mewar-warkan gagasan "Satu Malaysia", yakni perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Malah, tema sambutan kemerdekaan pada tahun ini oalah "Satu Malaysia Menjana Transformasi", yang dapat didefinisikan sebagai masyarakat yang bersatu-padu dapt membawa perubahan yang besar kepada negara. Namun, sebelum mencapai perpaduan yang jitu dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ini, rakyat Malaysia harus mempunyai beberapa nilai murni dalam jiwa raga sendiri. Apatah lagi, sebagao sebuah negara bawah agin, masyarakat Malaysia memang terkenal dengan nilai-nilai murni yang menebal dalam kalangan rakyat.

     Sebagai aspek utama dalam memupuk perpaduan dalam kalangan rakyaat Malaysia, saya harus mengamalkan nilai toleransi. Seperti yang kita sedia maklum,masyarakat Malaysia terdiri daripada tiga kaum utama, iaitu Melayu, cina, dan India, serta kaum-kaum minoriti yang lain. Oleh itu, saya harus memahami sensitiviti kaum lain dari segi kebudayaan, amalan keagamaan dan pantang larang kaum masing-masing. Dalam sesetengah keadaan yang tertentu juga, saya wajar menerima pandangan mereka dalam aspek kepercayaan dan pengamalan sosial. Tamsilnya, saya tidak harus mempersoalkan laungan azan daripada orang Islam dan pembakaran kemenyan daripada penganut agama Hindu.

     Di samping itu, saya mesti mengamalkan nilai bekerjasama untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Dalam melaksanakan tugasan-tugasan sekolah atau kegiatan-kegiatan masyarakat dengan rakan taulan, saya mesti memberikan sokongan yang padu dan sinergi yang berkekalan kepada mereka. Bak kata pepatah, "hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah". Saya tidak harus memilih rakan untuk bekerjasama dengan saya berdasarkan kaum. Dari segi sosial pula, saya akan membantu jiran tetangga dalam aktiviti gotong-royong dan bekerjasama "bagai aur dengan tebing".

     Seterusnya, saya mesti mempraktikkan nilai keadilan dalam sanubari agar perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dapat dikekalkan. Saya tidak harus mengamalkan sikap berat sebelah dalam apa-apa jua tindakan yang saya lakukan. Sebagai contoh, apabila saya dipilih sebagai pengerusi persatuan atau ketua kumpulan, saya akan memilih ahli jawatankuasa berdasarkan kebolehan masing-masing. Saya turut tidak akam mengemukakan komentar buruk terhadap hasil kerja daripada titik peluh rakan-rakan daripada pelbagai kaum, apatah lagi memandang serong dan memperlekehkan kemahiran mereka.  Sekiranya saya dikehendaki menyelesaikan sesuatu perbalahan, saya akan menilai masalah tersebut berdasarkan bukti yang nyata dan bukannya berdasarkan warna kulit. Dengan langkah-langkah tadi, perselisihan faham dan pertelingkahan antara kaum dapat dikurangkan.

     Pada masa yang sama, nilai hemah tinggi juga harus saya aplikasikan dalam kehidupan seharian. Lihatlah kes seorang rakyat Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Taiwan, iaitu Wee Meng Chee ataupun dikenali sebagai "Namewee", yang telah menukarkan lagu kebangsaan kepada lagu yang berunsur "Rap" berjudul "Negarakuku". Lagu tersebut dipenuhi dengan bahasa basahan dan unsur-unsur yang menghina kaum lain dan mencabar kedaulatan negara, sehingga terdapat sesetengah rakyat yang menyarankan agar Namewee dilucutkan kerakyatan! Semasa berkomunikasi dengan sesiapa pun tanpa mengira bangsa, saya akan mempraktikkan budaya "4M", iaitu memberikan senyuman, memberi salam, memohon maaf, dan mengucapkan terima kasih mengikut keadaan. Saya tidak akan bersikap biadap seperti tidak menjaga tutur kata serta mengucapkan bahasa kasar kepada orang sekeliling. Apabila setiap rakyat Malaysia bersikap hemah tinggi, nescaya persefahaman antara kaum dapat dicapai dan meningkatkan imej negara di persada dunia.

     Seterusnya, saya wajar mengamalkan nilai kepercayaan kepada Tuhan. Agama memang dijadikan sebagai landasan rakyat untuk menyemaikan keperibadian yang murni, sementara pelbagai filsafat dapat diperoleh daripada ajaran pelbagai agama. Bak kata pujangga, "Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan". saya akan berpegang teguh kepada ajaran agama yang menyarankan saya agar berjasa kepada orang sekeliling dan tidak mencaci mereka. Sejajar dengan itu, saya juga akan menghormati amalan agama-agama lain dan menjaga perasaan mereka. Saya percaya sekiranya rakyat Malaysia sering menjaga sensitiviti penganut agama yang berlainan, kita dapat hidup dengan aman damai, sementara perkara=-perkara yang menyebabkan kepincangan antara penganut agama yang berlainan, kita dapat hidup dengan aman damai, sementara perkara-perkara yang menyebabkan kepincangan antara penganut agama  yang berlainan dapat dihindari, seperti kes pembakaran gereka yang berlaku pada awal tahun.

     Konklusinya, terdapat pelbagai nilai murni yang harus saya amalkan jika saya ingin memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Namun, perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia hanya dapat dicapai apabila rakyat Malaysia sanggup menyumbangkan daya usaha dan kerjasama yang padu kepada kerajaan untuk membina integrasi nasional, bak kata pujangga, "bersatu teguh, bercerai roboh". Perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dan integrasi kebangsaan yang kukuh merupakan batu asas untuk membina sebuah negara yang maju dan disegani oleh negara-negara lain kerana "Perpaduan Teras Kejayaan". Marilah kita bersama-sama mewujudkan perpaduan dalam negara untuk merealisasikan gagasan Satu Malaysia dan seterusnya Wawasan 2020 demi masa depan negara yang gilang-gemilang. Saya percaya bahawa Malaysia boleh!

0 Little Whisper(s):

Post a Comment