Saturday 25 February 2012

Kebaikan Penyertaan Murid-murid dalam aktiviti kokurikulum.

     "Pemuda tiang negara, pemudi harapan bangsa". Malaysia memerlukan tenaga pemuda dan bakal pemimpin untuk menjamin kemakmuran dan kesejahteraan negara ini pada masa hadapan. Oleh sebab itu, Kementerian Pelajaran Malaysia mewajibkan semau pelajar melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum demi melahirkan insan yang seimbang. Kegiatan kokurikulum dapat ditafsirkan sebagai kegiatan sekolah yang dijalankan di luar waktu persekolahan dan terbahagi kepada tiga kategori, iaitu kegiatan sekolah unit beruniform, persatuan, serta sukan dan permainan.

     Aktiviti kokurikulum banyak berperanan membentuk pelajar yang seimbang dalam semua aspek yang merangkumi aspek emosi, rohani, jasmani, dan intelek. antara maslahat kegiatan ini ialah sifat kepimpinan dapat diwujudkan dalam diri pelajar. Setiap persatuan pasti mempunyai ahli-ahli jawatankuasa tertentu untuk menerajui pergerakan persatuan tersebut, seperti pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli-ahli jawatankuasa kecil, dan juruaudit. Pelajar-pelajar yang terpilih akan bertanggungjawab merancang aktiviti-aktiviti persatuan serta mengawal disiplin ahli. Oleh itu, mereka berpeluang mempersiapkan diri untuk memikul tugas-tugas sebagai seorang pemimpin pada masa hadapan dan pada masa yang sama, mereka akan dihormati dan disegani oleh rakan-rakan mereka. Oleh sebab pemilihan pemimpin adalah secara demokrasi, pelajar-pelajar dapat memilih peneraju persatuan mereka secara adil dan harmoni.

     Seterusnya, kegiatan ini dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar untuk menyokong aspirasi "Satu Malaysia" yang dikemukakan oleh Yang berhormat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib bin Tun Razak. bak kata pepatah, "bersatu teguh, bercerai roboh". Pelajar-pelajar dapat bergaul dan berinteraksi dengan rakan-rakan yang berlainan latar belakang dan budaya semasa menyertai kehiatan kokurikulum. Oleh sebab terdapat sesetengah aktiviti yang memerlukan kegiatan berkumpulan, sikap tolong-menolong bagai aur dengan tebing dapat diwujudkan dalam kalangan ahli persatuan untuk melancarkan kegiatan tersebut. Dengan cara ini, perpaduan dan permuafakatan dapat diwujudkan dalam kalangan pelajar sekolah kerana "Perpaduan Teras Kejayaan".

     Di samping itu, pelajar-pelajar akan lebih berdisiplin dan berdikari. Aktiviti-aktiviti perkhemahan yang dianjurkan oleh pasukan unit-unit beruniform seperti Renjer Puteri, Kadet Remaja Sekolah, dan Kadet Pertahanan Awam, memerlukan kemampuan pelajar untuk mejalankan aktiviti-aktiviti harian tanpa bergantung kepada orang lain serta disiplin yang tinggi. Sekiranya disiplin dan peraturan dalam sesebuah pertubuhan tidak dipatuhi oleh seseorang ahli, ahli tersebut akan dikenakan tindakan tatatertib. Oleh itu, kegiatan kokurikulum terutamanya kegiatan badan-badan beruniform dapat membentuk pelajar yang berdisiplin dan berkeyakinan untuk berdikari, yang sememangnya amat penting sebagai persediaan pelajar untuk melangkah ke alam kerja.

     Pada masa yang sama, para pelajar dapat mengasah bakat dan kemahiran mereka tatkala menyertai persatuan atau mana-mana kegiatan sukan yang diminati oleh mereka, misalnya Persatuan Komputer, Kelab Catur, dan Kelab Keceriaan. Pelajar-pelajar yang melibatkan diri dalam kegiatan persatuan secara aktif dapat menyerlahkan bakat mereka sepenuhnya melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh mereka, seterusnya memantapkan kemahiran yang dimiliki oleh mereka. Mereka juga dapat mempelajari kemahiran-kemahiran baru seperti memasak, membuat simpulan, dan menggunakan teknologi maklumat terkini, serta ilmu-ilmu yang tidak dapat diperoleh dalam bilik darjah. Rentetan itu, pelajar yang ada bakat dapat menyerlahkan bakat mereka dalam kehidupan harian. Sementara pelajar-pelajar yang lain pula dapat melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan menggalakkan persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar sekolah.

     Sebagai intihanya, murid-murid wajar menyertai aktiviti kokurikulum dengan aktif untuk menggalakkan perkembangan diri yang sihat dalam pelbagai aspek dan bukannya sebagai profesor dalam dewan peperiksaan sahaja. Marilah kita sedar dan berganding bahu mempersiapkan diri sebagai bakal pemimpin negara dengan menyertai kegiatan kokurikulum secara aktif dari sekarang, kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sememangnya manusia yang cemerlang adalah manusia yang berkemahiran dalam pelbagai bidang dan bukannya sebagai alat peperiksaan sahaja.

0 Little Whisper(s):

Post a Comment